Sarawak Berpotensi Jadi Peneraju Perangi Perubahan Iklim

RABU, 15 MAC 2023

KUCHING: Sarawak yang terkenal dengan sumber alam semulajadi berpotensi menjadi peneraju dalam memerangi perubahan iklim.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kekayaan sumber alam semulajadi memberikan peluang tinggi untuk mencapai matlamat pelepasan sifar bersih dan memacu ekonomi hijau di negeri ini.

“Kita sudah mempunyai kemajuan ke arah matlamat ini di mana usaha beralih daripada 92 peratus bahan api fosil pada 2010 kepada 70 peratus kuasa hidro menjelang 2015 berjaya dilakukan.

“Sepanjang dekad yang lalu, negeri kita telah mengalami peralihan yang ketara ke arah penyahkarbonan, mengakibatkan pengurangan 72 peratus dalam intensiti pelepasan grid antara 2010 dan 2020.

“Pencapaian ini telah berjaya dilakukan daripada komitmen terhadap sumber tenaga boleh diperbaharui dan terus memacu sosio mampan pertumbuhan ekonomi ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Persidangan Karbon Asia 2023 di Kuching pada Rabu.

Premier Sarawak menambah, kuasa hidro boleh diperbaharui di Sarawak akan menjadi salah satu pemacu utama dan negeri pertama di Malaysia yang menggubal perundangan perniagaan meneroka karbon dan alam semula jadi.

“Dengan beralih daripada penjanaan elektrik yang menghasilkan CO2 kepada penjanaan bebas karbon, kita boleh memastikan negeri kita kekal di barisan hadapan dalam usaha memerangi perubahan iklim global.

“Melalui inovasi, pelaburan, dan kerjasama, kita boleh memanfaatkan potensi penuh sumber semula jadi kita untuk mencipta masa depan yang lebih bersih, hijau dan lebih mampan untuk semua.

“Kami mensasarkan kapasiti campuran tenaga boleh diperbaharui sekurang-kurangnya 60 peratus dengan penekanan khusus pada kuasa hidro boleh diperbaharui dan peningkatan dalam sumber alternatif.

“Dengan mengutamakan tenaga boleh diperbaharui, kita boleh mengurangkan jejak karbon kita dan menyumbang kepada usaha global untuk memerangi perubahan iklim,” jelasnya.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Ultiliti Dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga Dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr. Hazland Abang Hipni, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Pengerusi SaraCarbon, Dato’ Sri Yaw Chee Meng, Head of Asia & Oil Markets Asia Region, Argus Media, Karl Kleemeier dan tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS

add comment