Tujuh Pos baharu PGA ditempatkan Di Lundu, Bau, Padawan, Serian, Sri Aman

RABU, 15 MAC 2023

KUALA LUMPUR: Sebanyak tujuh pos baharu Polis Gerakan Am (PGA) akan dibina untuk memperketatkan kawalan di sempadan negara bagi meningkatkan pencegahan serta mengurangkan kelompongan di sempadan Malaysia-Kalimantan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia akan memperkukuhkan lagi kawalan sempadan negara di Sarawak khususnya dalam berhadapan dengan impak pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur.

“Lokasi pos-pos baharu PGA yang akan diwujudkan adalah Pos Raso, Lundu; Pos Stass, Bau; Pos Sapit, Padawan; Pos Tepoi, Serian; Pos Gua Ming, Sri Aman; Pos Kaluh, Sri Aman; dan Pos Sg Putong, Sri Aman,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Serian Dato’ Sri Richard Riot Jaem  di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Datuk Seri Saifuddin juga menambah, kerajaan juga meningkatkan keupayaan operasi serta mendominasi kawasan sempadan dengan lebih menyeluruh terutamanya di kawasan pedalaman Sarawak yang tidak mempunyai jalan perhubungan melalui perancangan membina 29 Landing Point bagi tujuan memudahkan akses anggota ke kawasan pedalaman di sempadan Sarawak.

Selain itu katanya, bagi memastikan pelaksanaan tugas di sempadan negara dapat dijalankan secara lancar dan berkesan, sepanjang 77 kilometer jalan rondaan keselamatan dirancang untuk dibina dari Telok Melano, Lundu hingga ke Serikin, Bau.

Katanya lagi, kerajaan juga turut melaksanakan penstrukturan semula PGA dengan mewujudkan satu Batalion baharu PGA iaitu Batalion 23 PGA (Sri Aman, Sarawak) yang akan memberikan impak dalam keberkesanan kawalan sempadan dan kedaulatan negara bagi keseluruhan Sarawak dari segi kekuatan, kawasan tanggungjawab serta keberhasilan operasi.-Edisi UKAS

add comment