JPBB Miri Arah Tangani Kebakaran Tanah Gambut Di Kuala Baram

KHAMIS, 16 MAC 2023

MIRI: Insiden kebakaran tanah gambut yang berlaku di Kuala Baram mendapat perhatian segera daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri.

Tindakan itu susulan keputusan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri setelah melakukan lawatan tinjauan ke lokasi kejadian pada pagi Khamis.

JBPM Miri kini sedang bekerjasama dengan syarikat tempatan untuk memadam kebakaran tersebut.

Terdahulu, JBPM Miri menerima laporan mengenai kebakaran haram yang disyaki berlaku disebabkan kegiatan pembukaan ladang yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, agensi penguatkuasa termasuk Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Wilayah Utara Miri, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Hutan Miri dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Miri akan menjalankan siasatan serta mengenakan tindakan perundangan terhadap pihak terbabit sekiranya perlu nanti.

Dalam pada itu, JPBB Miri mengingatkan masyarakat agar tidak melakukan sebarang bentuk pembakaran terbuka.

Jika didapati kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. -EDISI UKAS

add comment