Masyarakat Melanau Pertahan Warisan Pesta Kaul

KHAMIS, 16 MAC 2023

MUKAH: Walaupun hidup dalam zaman serba moden, masyarakat Melanau tetap berpegang teguh dengan mengekalkan adat mereka terutama warisan yang telah dimulakan sejak berabad lalu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah, berpandukan buku ‘Serahang Kakan’ yang diterbitkan Pustaka Negeri Sarawak, Pesta Kaul telah wujud sejak 400 tahun dahulu oleh etnik Melanau.

Jelasnya, persamaan Pesta Kaul di sini dengan Kaul di tempat lain di Mukah ialah kepercayaan kepada ‘Ipok’, persiapan membuat Serahang Kaul, perarakan Serahang dan pukul canang.

“Terdapat beberapa perbezaan antara Kaul di sini dengan di kawasan lain di Mukah, antaranya bacaan mantra. Pesta Kaul ini diadakan agar warisan tidak dilupakan sebagai etnik Melanau.

“Walaupun zaman telah beredar, kepercayaan telah berubah, ianya perlu diteruskan dan penglibatan generasi Muda amat diperlukan,” katanya dalam Majlis Penangguhan Rasmi Pesta Kaul Kampung Sungai Ud, Dalat di Dewan Masyarakat Kampung Sungai Ud, Dalat pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata kaum Melanau adalah bangsa yang kaya dengan adat dan warisan yang perlu dipertahankan.

Katanya lagi, ilmu, maklumat dan pengalaman daripada mereka yang mempunyai pengetahuan tentang warisan ini perlu didokumentasikan yang akan ditempatkan di Galeri Warisan Melanau Oya agar kekal sepanjang zaman.

“Masyarakat Melanau juga perlu berusaha untuk maju ke hadapan bukan sahaja dalam bidang kebudayaan bahkan juga dalam bidang lain agar mampu seiring dangan masyarakat lain,” tambahnya.

Turut hadir Pegawai Daerah Dalat Hamdan Katang, Ketua Kaum merangkap Pengerusi JK Pesta Kaul Kampung Sungai Ud, Dalat Suseng Gago, Temenggung Bahagian Mukah, Hendy Suhai dan Pemanca Dalat Peter Lai Sakul. 

Selesai majlis perasmian itu, Dato Sri Fatimah berkesempatan melawat kediaman mangsa kebakaran di Oya yang berlaku pada 7 Mac yang lalu. 

Beliau dalam pada itu, mengucapkan tahniah kepada Penghulu, Ketua Kaum, Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kammpung (JKKK), pihak Masjid dan Seluruh Komuniti Kampung Bakong kerana telah mengambil inisiatif untuk membina rumah sementara untuk mangsa sementara menunggu rumah dari kerajaan menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Terima kasih kepada pembekal yang sudi memberi kerjasama mendahulukan segala bahan binaan untuk membina rumah ini dan dibayar kemudian iaitu Syarikat Masjaya.

“Rumah sementara itu telah 90 peratus siap yang mempunyai dua bilik tidur, ruang tamu, bilik air dan dapur sebagai tempat berteduh mangsa kebakaran iaitu Rahmah Johor serta anaknya Badrul Hisyam Bolhi,” katanya.

Untuk rekod, sumbangan dari Jabatan Kebajikan Bahagian Mukah keseluruhan berjumlah RM6420 merangkumi RM5,000 untuk bahan binaan dan selebihnya adalah untuk bantuan wang saku, pakaian harian, peralatan dapur, kelengkapan tidur dan bantuan awal makanan.

Manakala sumbangan dari Pusat Khidmat Dalat sebanyak RM4,000 turut disampaikan untuk mangsa.

Terdahulu Dato Sri Fatimah turut menyampaikan sumbangan kepada Pasukan Futsal Armada Dalat sebanyak RM2,000 sebagai persiapan pasukan itu menyertai pertandingan Futsal 5 vs 5 di Miri pada 18 dan 19 Mac nanti.-EDISI UKAS

add comment