Pandu Puteri Perlu Terus Lestarikan Budaya Sukarelawan

KHAMIS, 16 MAC 2023

KUCHING: Persatuan Pandu Puteri perlu terus melestarikan budaya sukarelawan dalam kalangan ahlinya agar sikap prihatin, peka dan penyayang dapat dipupuk dalam budaya masyarakat di negara ini.

Yang Di-pertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sarawak Dato Dayang Morliah Awang Daud berkata, usaha ini mampu dicapai dengan adanya pertukaran pengalaman dan pendapat antara ahli dari seluruh negara.

“Hari Peringatan Sedunia ialah hari persahabatan antarabangsa dan inilah masanya peluang untuk Pandu Puteri dan Pengakap Puteri dari seluruh dunia bersama-sama dengan satu suara berbicara tentang isu-isu yang mempengaruhi gadis, remaja perempuan dan wanita.

“Selain itu, sambutan hari tersebut telah diraikan setiap tahun sejak tahun 1926.

“Idea meraikan sambutan ini menjadi kenyataan ketika Pandu Puteri dan Pengakap Pandu Puteri mengadakan perjumpaan di Amerika Syarikat sempena Persidangan World Association of Girl Guides and Girl Scouts (WAGGS) keempat dan bersetuju bahawa harus ada sambutan hari istimewa setiap tahun bagi mengingati antara satu sama lain, mengucapkan terima kasih serta memberikan penghargaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis Sambutan Hari Peringatan Sedunia 2023 yang disempurnakan oleh Penaung Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib di Astana Negeri Sarawak pada Khamis.

Justeru beliau berharap agar semua ahli Pandu Puteri dapat memastikan kepelbagaian dan kesaksamaan diterapkan serta diaplikasikan setiap hari demi kesejahteraan hidup dan mewujudkan dunia yang seimbang dan aman.

Untuk makluman, para peserta Sambutan Hari Peringatan tahun ini telah disertai oleh para pemimpin dan ahli-ahli Pandu Puteri Tunas, remaja, renjer, ‘klover’ dan ‘trefoil guild’ dari daerah-daerah Kuching, Sarikei, Padawan, Serian dan Simunjan.

Hadir sama Timbalan Yang Di-pertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sarawak Annie Sim dan Ketua Pesuruhjaya Cawangan Sarawak Ruth Sibat.- EDISI UKAS

add comment