UTS, SS Rover Sdn Bhd Jalin Kerjasama

KHAMIS, 16 MAC 2023

SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan SS Rover Sdn Bhd telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama dalam bidang pendidikan dan program latihan khusus untuk kenderaan jarak jauh atau Remotely Operated Vehicles (ROV).

Majlis MoU berkenaan telah ditandatangani antara Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr. Khairuddin Abdul Hamid dan Pengarah Urusan SS Rover Sdn Bhd Syamsul Nizam Azmee bertempat di Bilik Senat UTS pada Rabu.

Ia turut disaksikan Timbalan Naib Canselor UTS Profesor Dr. Mohd Shahril Osman dan Penasihat Korporat SS Rover Sdn Bhd Safrina Zainal Abidin.

Objektif MoU tersebut adalah bagi memudahkan pembangunan profesional dan pembelajaran sepanjang hayat menerusi perkongsian pengetahuan dan kepakaran dengan pengurusan dan tenaga pengajar UTS.

Selain itu, kerjasama juga bagi mewujudkan kurikulum yang komprehensif untuk pendidikan dan latihan ROV yang memenuhi piawaian dan keperluan industri di samping sukatan pelajaran yang telah diluluskan oleh kerajaan dan Badan Akreditasi Industri.

MoU ini juga bagi meneroka peluang untuk penajaan dan pembiayaan dalam program pendidikan, latihan ROV dan penempatan kerja peserta dalam industri.  

Di samping itu, ianya merupakan satu perkongsian yang saling menguntungkan dengan menggalakkan pertumbuhan dan kemajuan teknologi dan pendidikan ROV serta aplikasi pengetahuan yang berkaitan dengan yang lain.

Turut hadir semasa majlis rombongan dari pihak Yayasan Peneraju diketuai Dr. Amina Josetta Kayani.-EDISI UKAS

add comment