KKM Bercadang Bina Sebuah Klinik Kesihatan Baharu Di Tatau

JUMAAT, 17 MAC 2023

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang untuk membina sebuah Klinik Kesihatan baharu di Tatau.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, buat masa ini KKM sedang mengenal pasti tapak yang sesuai.

Jelasnya, projek pembinaan klinik kesihatan baharu itu akan dimohon di dalam ‘Rolling Plan’ yang akan datang sebaik urusan perolehan tapak selesai.

“Pada masa sama, kerja-kerja naik taraf dan pembaikan juga telah dilaksanakan sejak 2019 seperti kerja pendawaian semula dan naik taraf papan suis,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta dalam Persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Sebelum itu, Edwin dalam soalannya memohon agar Klini Kesihatan Tatau diperbesarkan bagi menampung keperluan rawatan oleh 31,000 penduduk di kawasan berkenaan. -EDISI UKAS

add comment