Perumahan Miliki Tanah Lapang Di DUN Senadin Akan Dijadikan Taman Rekreasi & Trek Larian

JUMAAT, 17 MAC 2023

MIRI: Setiap kawasan perumahan yang mempunyai tanah lapang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin akan dijadikan taman rekreasi dan trek larian.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin beerkata, ia merupakan antara perancangan dalam Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasannya yang akan memberi manfaat kepada penduduk kawasan berdekatan.

“Sepertimana antara dalam perancangan RTP saya, setiap kawasan perumahan utama yang mempunyai tanah lapang akan dijadikan taman rekreasi di bawah projek Kerajaan Sarawak,” katanya kepada media selepas meninjau tiga projek RTP di sini pada Jumaat.

Dato Sri Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu menambah, pembinaan taman rekreasi itu berperanan penting agar dapat menggalakkan amalan hidup sihat selain bertujuan mengubah landskap penghijauan di kawasan perumahan serta menyediakan tempat riadah dan rekreasi kepada penduduk setempat.

“Kemudahan ini diwujudkan di setiap taman mini rekreasi yang kita bina adalah untuk mengalakkan masyarakat kita mengamalkan gaya hidup sihat serta sentiasa bercampur gaul dan berinteraksi sesama jiran tetangga.

“Selain itu, generasi kanak-kanak masa kini lebih banyak meluangkan masa bermain gajet berbanding meluangkan masa menjalankan aktiviti di luar rumah dan disebabkan itu, mereka perlu melakukan aktiviti senaman untuk memastikan tubuh sentiasa sihat dan cergas,”ujar beliau lagi.

Terdahulu, Dato Sri Lee telah melakukan tinjauan ke tapak tiga projek RTP untuk taman rekreasi dan trek larian baru iaitu dua di Vista Perdana dan sebuah di Desa Pujut Permyjaya dengan jumlah kos keseluruhan RM 400,000.

Dalam lawatan tersebut, beliau turut meminta pihak kontraktor untuk menambah baik struktur landskap taman rekreasi termasuk dari segi kebersihan, kecantikan, menurap semula tanah yang tidak rata, memperbaiki lantai taman permainan kakak-kanak yang retak, penambahan tong sampah taman, serta kerja-kerja penyelenggaraan taman termasuk keselamatan fasiliti dan pemotongan rumput.-Edisi UKAS

add comment