JUMAAT, 17 MAC 2023
KUCHING: Program Aspirasi Muzium Brooke yang mengetengahkan pemeliharaan tekstil dan kemahiran belia di Sarawak akan menyasarkan golongan belia yang menghadapi masalah sosial seperti pelajar sekolah juvana, anak yatim dan belia yang tinggal di pusat pemulihan.
Belia yang berumur dalam lingkungan 12 hingga 18 tahun dan tidak mempunyai sijil berhenti sekolah akan diberi latihan dalam seni keringkam yang bertauliah di bawah program kerjasama Muzium Brooke dan Yayasan Hasanah.
Objektif program ini adalah bagi menangani potensi kehilangan warisan budaya yang tidak ternilai di samping membantu mempersiapkan belia yang kurang bernasib baik untuk lebih berdaya saing.
Program ini menggabungkan pemeliharaan dan pemuliharaan kemahiran tradisional seni keringkam serta meningkatkan potensi golongan belia ini untuk lebih yakin, positif dan produktif.
Penganjur berharap program ini akan membantu meningkatkan kemahiran golongan belia yang mengalami masalah sosial agar siap sedia menyertai masyarakat umum semula setelah dibebaskan.
Pengarah Muzium Brooke, Jason Brooke telah memberi taklimat berhubung perkara tersebut kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus. -Edisi UKAS.