JUMAAT, 17 MAC 2023
KOTA SAMARAHAN: Masjid Al-Muttaqin Bahagian Samarahan yang sudah siap sepenuhnya mampu memuatkan sebanyak 1,600 jemaah dalam satu masa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah telah menyempurnakan Majlis Kesyukuran Pembukaan Semula di masjid tersebut.
Dalam pada itu, beliau juga menyerahkan watikah kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Muttaqin Bahagian Samarahan Hamsein Attar menandakan rasminya pembukaan semula masjid kepada orang ramai.
Masjid tersebut menjalani kerja naik taraf pada 30 September 2019 dan telah disiapkan sepenuhnya pada Jumaat ini melibatkan pembinaan semula struktur bumbung yang pada asalnya menggunakan membran tegangan ‘teflon’ dengan menggantikannya dengan bumbung logam, kubah untuk ruang solat di blok kiri dan kanan, penggantian lima tiang untuk sokongan kubah baru.
Projek tersebut menelan kos sebanyak RM2,729,400 itu bertujuan untuk memastikan Masjid Al-Muttaqin Bahagian Samarahan tetap utuh sebagai bangunan ikonik serta menjadi mercu tanda baharu di Samarahan dalam usaha mengembangkan syiar Islam dan pusat penyebaran ilmu dalam kalangan masyarakat Islam setempat.
Turut hadir ialah Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak merangkap ADUN Muara Tuang Dato Idris Buang, Wakil Khas ADUN Gedong merangkap Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Bahagian Samarahan Datuk Mohd Naroden Majais dan Pemangku Residen Bahagian Samarahan Mohammad Irwan Bahari Bujang. -EDISI UKAS