JUMAAT, 17 MAC 2023
KUCHING: Kerajaan Sarawak mahu memberi tumpuan dalam membangun dan memacu industri hortikultur di negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, industri berkenaan bukan saja untuk menghiburkan, malah mampu memberi manfaat kepada ekonomi.
Menurut beliau, industri hortikultur juga mempunyai kait rapat dengan Strategi Pembangunan pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak.
“Industri ini bukan sahaja untuk membantu kita tetapi juga sebagai komoditi untuk eksport yang akan meningkatkan aktiviti ekonomi kita di bawah PCDS 2030.
“Seperti yang anda tahu, kita mempunyai tiga tonggak dalam PCDS 2030 iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kemampanan alam sekitar.
“Industri hortikultur ini adalah satu industri yang merangkumi sebagai komoditi dan keterangkuman sosial kerana anda memberi bunga kepada orang ramai dan mencantikkan negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian ‘Borneo International Garden Expo’ (BIGEXS) 2030 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut berkongsi pengalamannya selepas melawat ke Arab Saudi pada minggu lepas yang mana bandarnya dihiasi dengan tanaman bunga.
“Saya baru balik dari Arab Saudi, saya ke sana minggu lepas dan anda boleh lihat bandar ini ditanam dengan bunga. Jeddah sendiri cantik dengan bunga-bunga yang berwarna-warni, malah Madinah dan Mekah kerajaannya memberi penekanan kepada hortikultur.
“Itu mengingatkan saya bahawa walaupun kawasannya adalah padang pasir, sepanjang lebuh raya mereka indah dengan pokok dan bunga,”ujar beliau lagi.
Sehubungan itu beliau meminta Datuk Bandar bagi Dewan bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) untuk mencantikkan jalan raya dengan tumbuhan dan bunga yang cantik dan berwarna warni.
Selain itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, Sarawak juga perlu mempunyai dasar tertentu dan membentuk idea perkara yang akan dilakukan dengan bunga yang ada di negeri ini.
Sementara itu, bercakap mengenai ekspo berkenaan, beliau berkata, ia merupakan satu cara baharu untuk Sarawak menerokai idea baharu dalam industri hortikultur.
Antara yang turut hadir dalam majlis perasmian itu ialah isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datu Sherrina Hussaini, dan Pengarah Eksekutif BCCK, Tan Sri Datuk Amar Wilson Baya Dandot. -Edisi UKAS