SABTU, 18 MAC 2023
SIBU: Tanggungjawab untuk membentuk anak-anak murid menjadi cemerlang bukan mudah dan ia cabaran utama golongan pendidik.
Justeru, peranan dan jasa para guru dan kakitangan sekolah harus dihargai, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine.
Berkongsi pengalamannya semasa menghadiri Wardah Apresiasi SMK Semop 2022/2023 di Kingwood Hotel, Sibu pada Jumaat, Royston berkata beliau juga pernah menjadi guru sebelum menjadi pemimpin.
Tegasnya, keutamaan harus diberikan terhadap pendidikan kerana ia sangat penting dalam sesebuah tamadun, negara, masyarakat, keluarga malah diri individu itu sendiri.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Koporat, Penerangan dan UKAS) yang juga ADUN Semop, Datuk Abdullah Saidol.
Menurutnya, Datuk Abdullah merupakan mentor yang telah membimbingnya dalam tugasan sebagai wakil rakyat.
Dalam ucapannya, Royston turut menekankan pentingnya bidang keusahawanan kerana ia menjadi pemangkin kepada perubahan dan perkembangan ekonomi.
“Malah dari keusahawanan ini, ianya menawarkan pekerjaan kepada masyarakat.
“Sebagai wakil rakyat, malah guru juga perlu mengetahui latarbelakang lokaliti mereka mengajar untuk menyesuaikan diri.
“Intervensi apa jua bentuk permasalahan atau keperluan anak murid, ibu bapa, dan masyarakat,” katanya.
Mengenai masalah sekolah daif dan kekurangan guru, beliau berkata isu tersebut di bawah bidang persekutuan.
“Kita kekurangan guru tempatan dan kita sudah suarakan. Baru-baru ini telah disuarakan oleh YB Ahmad Johnie di Dewan Rakyat semasa sidang Parlimen,” tambah beliau.
Dalam majlis itu, beliau telah mengumumkan sumbangan berjumlah RM5000 kepada Kelab Staf SMK Semop. – EDISI UKAS