Kerajaan Sarawak Bekerjasama Dengan UNIMAS Tubuh Program Latihan Guru Khas

SABTU, 18 MAC 2023

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk mewujudkan Program Latihan Guru Khas di universiti berkenaan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, program tersebut adalah khusus untuk melahirkan guru terlatih bagi pendidikan awal kanak-kanak.

Jelasnya, setelah melakukan perbincangan dengan pihak unimas baru-baru ini, kajian mengenai perkara itu akan dilakukan secepat mungkin.

“UNIMAS akan membuat kajian berkaitan kursus khas di mana semalam (Jumaat) saya bersama Naib Canselor UNIMAS, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berbincang untuk melatih guru-guru yang layak untuk mengajar kanak-kanak dari peringkat awal.

“Dalam erti kata lain, tadika kita sama seperti mana-mana negara maju dengan kelayakan para guru siswazah yang mempunyai latihan khas seperti guru khas untuk orang kurang upaya.

“Mereka akan dilatih dari segi psikologi, falsafah dan juga untuk mengenal pasti bakat kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Wanita 2023 di Pusat Konvensyen Penview Kuching pada Sabtu.

Terdahulu dalam ucapan perasmian, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari memberitahu, guru terlatih dari program khas ini akan dapat melihat potensi kanak-kanak berdasarkan kelebihan mereka.

“Guru-guru ini mesti boleh mengenalpasti potensi anak-anak dari tadika dan oleh itu kita perlu melahirkan guru yang bertauliah serta terlatih dalam aspek ini.

“Ini bukan perkara yang senang kerana ia adalah satu kajian psikologi dari sudut kemampuan anak-anak kita.

“Matlamat saya adalah apabila kebolehan anak kita telah dikenalpasti, mereka akan dilatih dalam jurusan yang sesuai dengan kelebihan mereka dan selepas program ini diluluskan oleh Senat UNIMAS, maka kita akan memberikan pembiayaan biasiswa kepada guru-guru ini,” ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Dato Sri Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Rosey Yunus dan Mohamad Razi Sitam, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancang Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Noriah Ahmad, Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Salmah Jobeli dan tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS

add comment