SABTU, 18 MAC 2023
SEMOP: Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Semop merupakan antara cawangan yang sangat aktif di Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, SABERKAS Cawangan Semop begitu komited dalam penganjuran serta penglibatan pelbagai program kemasyarakatan dan sosial samada di peringkat cawangan atau setiap unit kampung dan rumah panjang.
“Semasa tempoh pendemik COVID-19 yang lepas, ahli-ahli SABERKAS Semop terutama di peringkat unit setiap kampung dan rumah panjang telah memainkan peranan penting dalam melaksanakan program agihan bantuan bakul makanan di penempatan masing-masing dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop.
“Kerjasama, kerajinan serta keakraban semua ahli Saberkas adalah menjadi faktor utama banyak program yang dianjurkan sepanjang tiga tahun yang lepas berjalan lancar dan meriah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Mesyuarat Agung Tri-Tahunan SABERKAS Cawangan Semop di Dewan Masyarakat Semop pada Sabtu.
Datuk Abdullah yang juga Pengerusi SABERKAS Cawangan Semop dalam ucapanya turut mencadangkan penubuhan biro khas yang akan dinamakan Srikandi SABERKAS Semop untuk penganjuran program Wanita.
Justeru itu, beliau mengucapkam tahniah dan syabas kepada semua ketua unit dan ahli-ahli yang telah berjaya menjalankan aktiviti di kawasan masing-masing.
Dalam mesyuarat tersebut beliau turut memberi sumbangan berjumlah RM30,000 kepada SABERKAS Cawangan Semop bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti yang akan datang.
Turut hadir Ketua Unit Pengurusan Korporat SABERKAS Negeri Sarawak Aymer Cedrick, Timbalan Pengerusi SABERKAS Cawangan Semop Rush Suip dan Ketua Kaum Kampung Semop Kamri Harun.-EDISI UKAS