SABTU, 18 MAC 2023
KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang untuk menambah loji rawatan enap cemar septik di negeri ini, kata Timbalan Menteri Tenaga Dan Kelestarian Alam Sekitar Dr. Hazland Abang Hipni.
Beliau berkata tiga loji yang sedia ada di Kuching, Sibu dan Miri adalah tidak mencukupi untuk Sarawak.
“Kita telah berbincang dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk menambah bilangan loji rawatan enapcemar septik di Sarawak kerana kita memerlukannya.
“Tiga loji yang kita ada, tidak mencukupi,” katanya semasa berucap dalam majlis perasmian program Hari Air Sedunia Sar-Alam Indah Sdn Bhd (SAI) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Sabtu.
Hadir sama ialah Pengarah Sar-Alam Indah Sdn Bhd Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg.
Sementara itu, Dr. Hazland turut memuji inisiatif yang diambil oleh SAI yang merupakan Pakar Penyelesaian Air Kumbahan dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam industri sanitasi menguruskan Loji Rawatan Enapcemar Septik di Sarawak.
“Inisiatif SAI untuk sentiasa menjalankan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan pencarian teknologi pengurusan air sisa daripada pakar global serta usaha untuk mengkaji bagaimana enap cemar septik yang dirawat ditukar kepada Bio-Fetiliser sememangnya amat dipuji.
“Usaha SAI untuk melaksanakan projek penyelidikan perindustrian dengan kerjasama Universiti Teknologi Swinburne Sarawak merupakan satu lagi bukti yang menunjukkan kelestarian alam sekitar kita memerlukan usaha kolektif daripada kedua-dua sektor awam dan swasta.
“Tahniah SAI dan Universiti Swinburne atas kerjasama yang baik ini kerana ini merupakan cara kita boleh menangani perubahan iklim dan pemanasan global dan pada masa yang sama kita boleh mencipta pendapatan baharu, ekonomi baharu melalui ‘circular economy’ yang akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sarawak,” katanya lagi.
Dalam majlis sama, Dr Hazland bersama Dato Sri Abang Abdul Karim telah menyaksikan sesi menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara wakil SAI dan wakil Universiti Teknologi Swinburne Sarawak untuk bekerjasama dalam industri projek penyelidikan bertajuk ‘Kadar Pengumpulan Enapcemar dan Ciri-ciri Tangki Septik’.
MoA berkenaan adalah sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SAl dan usaha berterusan mereka untuk menambah baik penyelesaian pengurusan air sisa di Sarawak.
Selain itu, Dr Hazland turut menyaksikan penyampaian mock-cheque berjumlah RM200,000 daripada SAl kepada SUT bagi membiayai projek penyelidikan berkenaan.-Edisi UKAS