Sesi Perbincangan Pelan Pembangunan Pusat Bandar Mukah 2030 Diadakan

SABTU, 18 MAC 2023

MUKAH: Satu Program Penyertaan Awam (PPP) Bagi Penyediaan Cadangan Pelan Pembangunan Pusat Bandar Mukah 2030 (Mukah Local Plan 2030) telah diadakan di Kingwood Hotel Mukah pada Khamis.

Ia turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine.

Sesi perbincangan ini sangat bertepatan untuk mendapatkan pelbagai input berkaitan pembangunan dari wakil-wakil penduduk terutamanya Ketua Kaum & Ketua Masyarakat (KMKK) serta ketua-ketua jabatan yang berkaitan dari seluruh Daerah Mukah.

Sesi diterajui oleh tenaga pakar dari Kementerian Pembangunan Bandar & Sumber Asli, Pejabat Residen dan Jabatan Tanah & Survei amat memerlukan pandangan serta buah fikiran dari pelbagai pihak di sekitar kawasan Mukah sebagai pemegang taruh penting dalam memastikan perancangan pembangunan ini selari dengan keperluan penduduk.

Menurut Royston, “Dengan perancangan dan pelaksanaan projek-projek pembangunan sedia ada yang sentiasa dikemaskini dan ditambahbaik dalam tempoh setiap 10 tahun, saya yakin semua ini memberikan manfaat sepenuhnya dalam mengembangkan sosio ekonomi penduduk di sekitar Mukah sama ada dari aspek pelancongan, pendidikan dan perindustrian.

“Saya berharap agar segala perancangan pembangunan yang sentiasa ditambahbaik berdasarkan keperluan semasa kawasan sama ada untuk tempoh jangka masa pendek dan panjang dapat dilaksanakan sebaiknya apatah lagi dengan penubuhan agensi pembangunan yang baharu bagi kawasan pesisir Sarawak iaitu Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) yang melibatkan Bahagian Mukah secara keseluruhannya pasti akan lebih meransang pembangunan Bandar Mukah ini dengan lebih cepat dan teratur,” tambah beliau.

Turut hadir Penasihat Khas Perancang dan Pembangunan Bandar, Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli (MUDeNR) Datu Sajeli Kipli, Residen Bahagian Mukah Kueh Lei Poh, Pemangku Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip, Ketua Bahagian Pembangunan Bandar MUDeNR Forkanizam Dolhadi, Ketua-ketua Jabatan, Agensi-agensi dan ketua-ketua masyarakat yang lain.

Pada sebelah petang, Royston berkesempatan menyaksikan perlawanan persahabatan di antara pasukan gabungan Pemuda PBB DUN N57 Tellian dan N58 Balingian menentang Pemuda PBB N56 Dalat bertempat di Padang Bolasepak, Oya.

Perlawanan persahabatan ini bertujuan merapatkan silaturahim dan kerjasama antara Pemuda PBB Cawangan N.56 Dalat, N.57 Tellian dan N.58 Balingian tidak kira apa jua aktiviti.

Menurut Royston, Pemuda PBB harus bekerjasama bagi memastikan tidak hanya dalam sukan, perancangan program dikawasan meliputi keusahawanan, pendidikan, khidmat masyarakat dan sebagainya. – EDISI UKAS

add comment