Wanita Inspirasi Pembangunan Negara

SABTU, 18 MAC 2023

MIRI: Golongan wanita amat diperlukan dalam era masa kini dan menjadi inspirasi pembangunan negara tanpa mengira latar belakang mahupun bangsa.

Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof berkata, wanita kini memacu pelbagai kepintaran dan kepakaran dalam banyak bidang yang menghubungkan sumbangan dalam pembangunan karakter masyarakat.

“Semangat perjuangan wanita mendepani pelbagai cabaran sejak dahulu lagi telah diterjemahkan oleh pelbagai rumpun bangsa di dunia.

“Meskipun peranan wanita ini secara tradisinya digambarkan sebagai ibu, yang mengasuh dan mendidik anak serta menjaga kebajikan keluarga sehari-hari.

“Namun, peranan wanita kini tidak lagi terbatas dengan tanggapan lama seperti ini kerana wanita semakin agresif menyertai kerancakan membangun masyarakat dan insan secara terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Miri Siti Muzalifah Mahli Sambutan Hari Wanita Peringkat Daerah Miri (HW23) di Kompleks Islam Sarawak di sini pada Sabtu.

Mengenai sambutan Hari Wanita, Siti Rohanie berkata, ia disambut setiap tahun sebagai platform bagi memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada golongan wanita terhadap sumbangan mereka kepada pembangunan negara di samping sebagai motivasi kepada kaum wanita untuk terus bergiat aktif ke arah pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

“’Embrace Equity / Menghayati Ekuiti’ menjadi tema sambutan Hari Wanita Sedunia bagi tahun ini.  

“Peranan dan sumbangan yang dimainkan wanita dalam pembangunan modal insan dan negara begitu besar dan tidak dapat disangkal lagi.

“Bertemakan “Embrace Equity”, pentingnya dalam mencapai perubahan dan meningkatkan status wanita dalam golongan masyarakat itu sendiri,” ujarnya lagi.

Majlis Sambutan Hari Wanita telah diadakan secara serentak dengan Sambutan Hari Wanita 2023 yang diadakan di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Demak Laut dan juga bersama 45 buah Pejabat Daerah seluruh Sarawak.

Di peringkat daerah Miri, program perkongsian oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Miri telah diadakan dengan tajuk ‘Kesihatan Mental Wanita’ yang dianggap penting bagi golongan wanita.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah wakil Pejabat Kebajikan Masyarakat Miri Evelyn Cliff Emang dan Pegawai Psikologi (Kaunseling) Klinik Kesihatan Tudan Hii Hui Neng.-Edisi UKAS

add comment