AHAD, 19 MAC 2023
BETONG: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utliti dan Telekomunikasi Sarawak bersama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana amat komited untuk memastikan penambahbaikan pada infrastruktur dan sistem bekalan air di Daerah Kecil Spaoh.
Ia melalui pelaksanaan Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air Spaoh berkapasiti 5 Juta Liter Sehari iaitu ‘Acute Water Supply Project’ yang telah siap dilaksanakan dan mula beroperasi pada 15 Januari 2023.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata projek tersebut amat signifikan bagi menampung permintaan serta penggunaan bekalan air yang semakin meningkat.
Ia merupakan projek intervensi jangka pendek bagi penyelesaian isu bekalan air di beberapa kawasan dalam Daerah Kecil Spaoh.
“Baru-baru ini ada masalah khusus di Spaoh yang hanya memiliki 1 juta liter air sehari. Maka kita telah menaik taraf bekalan air tersebut dan telah mula beroperasi sejak bulan Januari lepas supaya Loji Rawatan Air Spaoh dapat membekalkan 5 juta sehari.
“Oleh kerana loji air ini siap dinaiktaraf baru-baru ini dan mula beroperasi Januari lepas, maka sekarang ianya telah dapat menghasilkan 3 juta liter air sehari tetapi sasaran kita ialah supaya ianya dapat mencapai maksimum kapasiti 5 juta air sehari.
“Ini untuk kawasan Spaoh yang telah dapat sedikit sebanyak menyelesaikan beberapa masalah bekalan air di kawasan Spaoh khususnya di kawasan YB Razi yang memberi kemudahan kepada lebih 7000 penduduk,” katanya dalam sidang media selepas melakukan Lawatan Kerja Rasmi ke Projek Bekalan Air Daerah Betong pada Ahad.
Kawasan yang menerima manfaat dari peningkatan kapasiti loji rawatan air Spaoh adalah Kampung Tuie, Kampung Supa, Kampung Medang, Kampung Serabang, Rumah Jerai dan Rumah Belassau.
Datuk Julaihi menambah, pada masa kementeriannya melihat keperluan utnuk meningkatkan bekalan air di seluruh kawasan Betong.
Bagi tujuan itu katanya, kerajaan telah meluluskan peruntukan untuk menaiktaraf Loji Rawatan Air Lubau di Betong yang akan meningkatkan kapasiti air kepada 60 juta liter sehari berbanding 30 juta liter ketika ini.
Katanya, tender untuk projek berkenaan akan diatur dalam masa terdekat.
“Jadi ia akan mampu menghasilkan 60 juta liter sehari. Sekarang ini ada 30 juta liter. Akan ditambah sebanyak 30 juta liter lagi.
“Ini akan meningkatkan bekalan air bersih secara keseluruhan di bahagian Betong,” tambah beliau.
Mengenai perancangan masa depan, Datuk Julaihi berkata Sarawak memerlukan sistem grid bekalan air untuk memastikan seluruh kawasan di negeri ini menerima bekalan air bersih.
Katanya, sistem tersebut sudah bermula di zon selatan Sarawak terutama di bahagian Samarahan dan pelaksanannya telah hampir siap.
Dengan sistem grid itu, saluran paip datang dari Kuching disambung ke Samarahan, terus ke Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau dan Samarahan untuk membekalkan air ke seluruh bahagian, katanya.
Hadir sama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap ADUN Layar Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ADUN Saribas Mohamad Razi Sitam, Ahli Parlimen Betong Dr. Richard Rapu serta Pengarah JBALB Sarawak Ir. Chang Kuet Shian.
Pada sebelah petang, Datk Julaihi dan rombongan telah mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Air Spaoh disusuli dengan walkabout bagi meninjau sistem bekalan air di Kampung Serembang, Spaoh. – EDISI UKAS