AHAD, 19 MAC 2023
BINTULU: Masyarakat awam harus sentiasa memandang serius terhadap wabak penyakit anjing gila atau rabies.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming memberitahu, pemilik anjing khususnya perlu sentiasa memastikan anjing mereka diberi vaksin anti-rabies setiap tahun untuk membina imuniti terhadap penyakit tersebut.
“Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu baru-baru ini mendedahkan bahawa terdapat satu kes kematian akibat rabies di Bintulu pada Januari lepas. Selain itu, terdapat juga lima kes berkaitan wabak tersebut di sini.
“Dalam pada itu, orang ramai mesti berwaspada dan tidak mengambil mudah perkara ini,” katanya dalam program ‘2023 Pet Lovers Fair’ anjuran ‘Hope 4 Strays’ di sini pada Sabtu.
Johnny menambah, Kerajaan Sarawak terus komited dalam mengambil pelbagai langkah bagi menangani isu penularan wabak rabies di negeri ini.
“Ia termasuk pengumuman konsisten berkaitan kes rabies dan lokasinya mulai April selain mewajibkan cip mikro untuk haiwan peliharaan bagi menyelesaikan masalah pemilik yang tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.
Antara pengisian program pada ‘2023 Pet Lovers Fair’ ini termasuk program mengumpul dana oleh ‘Hope 4 Strays’ yang sebahagian besarnya diperlukan bagi menampung perbelanjaan perubatan haiwan terutamanya kos pensterilan dan suntikan vaksin.
Turut hadir wakil kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing, Steven Kong, Pengerusi Jawatankuasa 2023 Pet Lovers Fair, Isabel Wong dan wakil Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu, Dr Siti Nurhani Arib. -EDISI UKAS