AHAD, 19 MAC 2023
KUCHING: Pemeliharaan bahasa setiap suku kaum di Sarawak giat diusahakan supaya tidak dilupakan oleh generasi masa depan.
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Bahasa Abang Haliman Abang Julai berkata, Bengkel Kerja Pangkalan Data Umum Bahasa Sukuan Sarawak (PDUBSS) 2023 dianjurkan bagi merakamkan semua bahasa sukuan di Sarawak untuk makluman dan pemahaman.
“Usaha merakamkan bahasa sukuan ini adalah supaya menjadi sebahagian pelengkap kepada bahasa kebangsaan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutupan PDUBSS 2023 di sini pada Ahad.
“Kita bersyukur apabila perkataan jerayawara itu diterima dalam bahasa kebangsaan dan ini menunjukkan usaha dalam memelihara bahasa sukuan.
“Beberapa perkataan bahasa sukuan telah kita kumpulkan untuk terbitkan satu kamus dan yang lain akan diserahkan kepada pangkalan data sebagai bahan rujukan.” ujarnya.
Dalam pada itu, sebanyak 585 entri istilah yang merangkumi entri terdiri daripada permainan tradisional, adat perkahwinan dan idea berasosiasi telah dikumpul.
Seramai 25 peserta terdiri daripada pelbagai kaum etnik telah menyertai bengkel tersebut yang berlangsung selama empat hari. -EDISI UKAS