AHAD, 19 MAC 2023
SARIKEI: Kegembiraan jelas terpancar di raut wajah penduduk Rumah Panjang Grace Nanie Steven setelah secara rasminya projek bina baru rumah tersebut yang bernilai RM70,000 sepintu siap sepenuhnya.
Lebih istimewanya apabila majlis ringkas penyerahan turut dihadiri Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang Datuk Len Talif Salleh pada Sabtu.
Datuk Len amat gembira kerana mengambil kira rintangan dan halangan yang dihadapi sepanjang pembinaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Kuala Rajang yang secara keseluruhannya menelan kos RM1,000,000 merangkumi penyediaan tapak dan pembinaan rumah telah berjaya dilaksanakan.
Menurutnya lagi, meskipun masih belum mempunyai bekalan elektrik dan air, beliau akan berusaha memastikan proses penyambungan utiliti ini dapat dilaksanakan dengan kadar segera ataupun sebelum menjelang sambutan Perayaan Gawai nanti.
Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Jurutera Awam Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarikei Frasser George Michael kepada Tuai Rumah Grace Nanie Steven dan disaksikan sendiri oleh Datuk Len.
Bercakap bagi pihak penduduk di kawasan Sare, Penghulu Bidai mengucapkan terima kasih kepada Datuk Len dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana cukup prihatin kepada permasalahan rakyat.
Sambutan mengikut adat istiadat Iban turut diadakan bagi memohon keberkatan dan keselamatan semua penduduk rumah tersebut.-EDISI UKAS