AHAD, 19 MAC 2023
KUCHING: Menjelang 2030, Sabah dan Sarawak akan mencapai 100 peratus akses kepada pembedahan dan penjagaan anestesia yang selamat.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, sejak konsep pembedahan global diperkenalkan, ia telah mencapai kemajuan yang luar biasa di Borneo.
“Lebih ramai pekerja penjagaan kesihatan menyedari konsep tersebut dan komited untuk menyumbang hasil daripada komitmen kedua-dua pihak berkepentingan pentadbiran dan klinikal melalui lawatan berkala ke semua hospital.
“Persidangan Pembedahan Global pertama ini merupakan pencapaian yang patut dipuji kerana ia merupakan peluang inklusif untuk sesiapa sahaja yang memainkan peranan penting dalam menyediakan penjagaan pembedahan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis perasmian Persidangan The 1st Global Surgery- The New Dawn di Hotel The Waterfront Kuching di sini pada Ahad.
Dalam sidang media pula, beliau memberitahu, program ini bakal membawa Malaysia ke hadapan serta memudahkan pesakit-pesakit untuk mendapatkan prosedur pembedahan.
“Kita mengambil apa yang ada dengan kerjasama yang kita lakukan bersama pakar-pakar dan juga hospital-hospital yang mahu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Hospital KKM.
“Kita juga akan memastikan supaya pesakit tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan perkhidmatan pembedahan.
“Jadi ini adalah satu inisiatif yang sangat baik bagi saya dan kita akan perkembangkan tentang perkara ini,” ujarnya.
Jelasnya lagi, pada bulan Mei kelak, acara sampingan World Health Assembly (WHA) akan dilakukan di Geneva, Switzerland.
“Malaysia akan mengetuai persidangan pembedahan global ini nanti,” ujarnya.
Seramai 460 orang telah menyertai Persidangan The 1st Global Surgery – The New Dawn yang berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Mac 2023 di Kuching, Sarawak.
Persidangan ini merupakan anjuran KKM dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan kesihatan dengan kerjasama Persatuan Pendidikan Lanjutan Pembedahan Hospital Umum Sarawak, Persatuan Perfusi Negeri Sarawak, Persatuan Post-Graduate Obstetric and Gynecology Sarawak dan Persatuan PostGraduate Orthopedic Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof Dr. Sim Kui Hian, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham dan jemputan lain. -EDISI UKAS