AHAD, 19 MAC 2023
DARO: Pelancaran stesen minyak bersepadu PETROS di Daro akan memangkin pertumbuhan ekonomi khasnya bagi kawasan di bawah tanggungjawab Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, usaha mendirikan kemudahan tersebut adalah sebagai langkah awal untuk menghadapi kesan limpahan kepada industri lain selaras dengan pembangunan kemudahan jalan raya dan juga infrastruktur yang dilaksanakan di kawasan sekitar.
“Kawasan ini akan terus membangun disebabkan oleh infrastruktur yang kita lengkapkan iaitu menerusi projek jalan pesisir dan juga jambatan-jambatan yang bakal siap dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Jadi, perjalanan dari Sibu ke Sarikei dan seterusnya Daro akan mengambil masa satu jam sahaja. Ini akan membuka kawasan tempatan yang mempunyai potensi dari sudut sektor pertanian, perkapalan dan perikanan,’’ jelasnya dalam sidang media selepas melancarkan stesen minyak bersepadu PETROS di Pekan Daro pada Ahad.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata, pembangunan ekonomi tersebut khasnya dengan seliaan RADDA akan menjurus kepada limpahan faedah yang dapat dinikmati oleh rakyat di kawasan terbabit.
“Selepas ini, kita akan teruskan usaha pembekalan air yang penting untuk industri yang akan meningkat di sini.
“Industri pembinaan kapal khususnya tertumpu di kawasan Paloh manakala Tanjong Manis akan menjadi kawasan pelabuhan dan di Daro pula, sektor pertanian dan perikanan akan menjadi penting,” ujarnya.
Dalam pada itu, Premier Sarawak menambah, inisiatif pembinaan stesen minyak bersepadu ini akan diperluaskan ke kawasan lain di seluruh Sarawak termasuk Pusa, Sibu dan Kapit bagi mempromosikan penggunaan kenderaan lebih mesra alam seperti kenderaan elektrik (EV).
“Langkah seterusnya adalah untuk mengenalkan bahan bakar hidrogen kelak. Buat masa ini kita gunakan tenaga elektrik dahulu.
“Apabila rakyat dapat menggunakan kenderaan berteknologi baharu nanti, kita akan dapat hadkan pengeluaran karbon dan ini adalah lebih lestari kepada alam sekitar,” katanya lagi.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi RADDA Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad, ADUN Tupong merangkap Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman, ADUN Tellian Royston Valentine, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir Yusuf Abdul Wahab, Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Residen Bahagian Mukah Kueh Lei Poh. -EDISI UKAS