AHAD, 19 MAC 2023
SUBIS: Kerajaan perlu menubuhkan satu lagi pusat pemulihan dadah di negeri ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dr Ripin Lamat memberitahu, pusat tersebut sebaiknya ditubuhkan di kawasan utara Sarawak.
“Saya memohon agar pihak kerajaan mewujudkan satu lagi pusat pemulihan dadah di Sarawak kerana pusat pemulihan sedia ada di Puncak Borneo tidak mencukupi,” katanya dalam Majlis Perasmian Sambutan Peringatan Hari Antidadah Tahun 2023 di Pantai Bungai, Bekenu di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Dr Ripin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir berkata, keseimbangan dalam kehidupan dunia tanpa sempadan dengan pelbagai medium teknologi yang digunakan harus disokong dengan pembinaan jati diri dalam kalangan masyarakat agar tidak terdorong dengan gejala tidak sihat.
Dalam pada itu, beliau berpendapat penggunaan tema ‘Lebih Baik Cegah’ dalam program tersebut yang membawa mesej pencegahan dadah bermula di rumah adalah bertepatan dengan tanggungjawab serta peranan komuniti untuk mengekang dan menyemai kesedaran mengenai bahaya dadah.
“Ini sejajar dengan sasaran ‘Dadah Terkawal 2025’ oleh pihak kerajaan sebagai perancangan jangka masa lima tahun seiring dengan matlamat Dasar Dadah Negara,’’ katanya lagi.
Pelbagai pengisian telah diadakan sempena penganjuran Sambutan Peringatan Hari Antidadah Tahun 2023 ini termasuk aktiviti Zumba, pertandingan mewarna, pertandingan ‘family picnic and sand castle challenge’ serta pameran daripada agensi berkaitan.
Hadir sama Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sarawak Iskandar Turkee, wakil Residen Bahagian Miri Nora Shafia Muhiyuddin dan Pemanca Daerah Subis Dr Ali Mudin. -EDISI UKAS