Ahli Saberkas Perlu Pupuk Semangat Kesukarelawan, Memartabatkan Belia

ISNIN, 20 MAC 2023

MUKAH: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) digesa agar menjadi platform untuk memartabatkan belia di dalam kawasan dengan pengelolaan program yang memberi impak positif dalam masyarakat.

Gesaan itu dinyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine sambil mahu ahli Saberkas memupuk semangat kesukarelawan dalam diri agar segala tugasan akan mudah dilaksanakan lebih-lebih lagi jawatankuasa yang telah dilantik.

Berucap ringkas semasa Mesyuarat Agung Tritahunan Saberkas Cawangan Tellian Bagi Sesi 2023-2026 di Dewan Suarah Mukah pada Sabtu, beliau mahu kerjasama erat dipupuk dalam kalangan ahli dan gabungan dari unit-unit Saberkas dalam pelaksanaan aktiviti memberi impak yang besar.

Katanya, di kalangan ahli mesyuarat adalah orang yang telah dilantik oleh unit masing-masing dan mereka sudah ada tanggungjawab untuk memimpin ahli-ahli dalam apa jua pelaksanaan program dan aktiviti yang dianjurkan.

Sejurus selepas itu, Royston meluangkan masa menyertai program Pengagihan Bubur Lambuk Perkim Cawangan Mukah dan Masjid Setiaraja Mukah.

Program kerjasama di antara Perkim Cawangan Mukah dan Jawatankuasa Masjid Setiaraja Mukah itu menyaksikan sebanyak 300 pek bubur pedas diagihkan kepada orang ramai yang lalu di sekitar Masjid Setiaraja Mukah. – EDISI UKAS

add comment