ISNIN, 20 MAC 2023
KANOWIT: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diseru agar memainkan peranan mereka dengan penuh tanggungjawab bagi melicinkan pentadbiran di peringkat kampung.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana, KMKK juga perlu bekerjasama rapat dengan kerajaan semasa dan juga agensi kerajaan yang ada.
Beliau berkata demikian semasa menerima menerima kunjungan hormat KMKK komuniti Cina DUN Ngemah bertempat di Pusat Khidmat ADUN Ngemah, Pekan Kanowit pada Ahad.
Rombongan KMKK komuniti Cina tersebut diketuai oleh Pemanca Leong Khing Hee, Pemanca Cina Daerah Kanowit, dua orang Penghulu dan sembilan orang Kapitan di DUN Ngemah.
Dalam pertemuan itu, Anyi turut memberi penerangan mengenai syarat pemilihan dan pelantikan KMKK di mana ianya melalui penilaian panel pemilihan yang dipengerusikan oleh Residen Bahagian Sibu.
Menurut beliau lagi, setakat 31 Disember 2022, terdapat tiga orang Ketua Masyarakat dan lebih 70 orang Ketua Kaum di DUN Ngemah yang telah tamat tempoh perkhidmatan mereka.
Ujarnya, mereka yang tamat tempoh ini akan dinilai oleh panel yang ada berdasarkan prestasi perkhidmatan mereka, faktor kesihatan dan juga faktor umur.
Anyi juga menerangkan tentang bajet yang ada disalurkan oleh Kerajaan Sarawak kepada wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Bajet tersebut ialah Projek Transformasi Luar bandar (RTP), Projek Kecil Luar bandar (MRP – Projek Khas) dan Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS).
Selain itu, terdapat juga bajet yang disalurkan oleh Kerajaan Sarawak melalui agensi kerajaan negeri, katanya. – EDISI UKAS