ISNIN, 20 MAC 2023
MUKAH: Pihak Majlis Daerah Matu Dan Daro (MDMD) telah menyerahkan 24 tong sampah berkapasiti 240 liter kepada lima Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tian untuk diletakkan di sepanjang jalan titian.
Ia merupakan salah satu program Community Integrity Building (Pembangunan Integriti Bersama Komuniti) pihak MDMD.
Simbolik penyerahan tersebut telah disaksikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya.
Dalam ucapannya, beliau berkata program itu julung kali diadakan di bawah Seksyen Kesihatan Dan Perkhidmatan Bandar yang mana semua program berkaitan alam sekitar akan diselaraskan.
Katanya, ini akan menjadikan semua program yang dianjurkan akan lebih teratur dan bersistematik.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Program Alam Sekitar Majlis Daerah Matu Dan Daro bertempat di Kampung Tian Matu pada Ahad.
Selain itu, beliau berkata program E-Waste dan juga pembelian semula barangan kitar semula 3R (Reduce – Reuse – Recycle) juga mula dijalankan pada hari itu.
Jelasnya, kutipan barangan kitar semula pada hari pertama berjaya mengumpul hampir lima tan barangan kitar semula bagi kawasan Matu sahaja.
“Selepas ini pihak MDMD akan meneruskan kempen pembelian semula ini terutamanya botol plastik dan minyak terpakai dengan kaedah kupon.
“Kupon yang berharga RM1, RM2, RM5, RM10, RM20, RM50 dan RM100 ini boleh digunakan di kedai-kedai yang telah menjadi rakan strategik 3R MDMD,” katanya.
Antara kedai yang menerima kupon adalah Daro Freshmart, Leong Heng Mini Market, Kedai Keluarga, Tupperware Matu Daro dan semua premis perniagaan di bawah MDMD.
Kempen pembelian semula itu bakal dilaksanakan secara berkala selepas ini.
Justeru Dr Juanda berharap dengan adanya program sebegini, kadar sampah yang dibuang ke tapak sampah dapat dikurangkan.
Hadir sama majlis tersebut Ketua Seksyen Kesihatan Awam Dan Perkhidmatan Bandar MDMD, Apohrozy Ezrie Ellie.
Dalam perkembangan lain, Dr Juanda meluangkan masa menghadiri Majlis Perasmian Pertandingan Badminton BC Sekaan bertempat di Dewan Serbaguna Matu pada Sabtu.
Pertandingan tersebut adalah julung kalinya diadakan oleh Gabungan Pertubuhan Sosial Rekreasi Belia Sukan Matu dengan kerjasama Sekaan Badminton Club.
Penyertaan selama dua hari itu membabitkan dua kategori iaitu kategori 21 tahun ke bawah dan kategori 21 tahun ke atas.
Sehubungan itu, Dr Juanda turut menyumbang dana bagi membaikpukih Dewan Serbaguna Sekaan berjumlah sebanyak RM30,000 yang akan diuruskan oleh Gabungan Pertubuhan Sosial Rekreasi Belia Sukan Matu.
Beliau dalam pada itu turut menyantuni para belia dengan menyertai permainan badminton pada majlis tersebut.
Turut hadir Penaung Sekaan BC Aini Latip dan Pengerusi Gabungan Pertubuhan Sosial Rekreasi Belia Sukan Matu Muhammad Hafiz Salim.
Di sebelah malam pula, Dr Juanda berkesempatan merasmikan program Forum Perdana Hal Ehwal Islam Daerah Matu bertempat di Masjid Kampung Jemoreng.
Forum Perdana Hal Ehwal Islam merupakan program bulanan di Daerah Matu yang menampilkan golongan muda sebagai moderator dan panelis.
Tajuk yang disampaikan pada malam itu adalah amat sesuai menjelang Ramadhan iaitu ‘Ramadhan Bulan Penyucian Jiwa’.
Di samping itu, program tersebut semakin mendapat sambutan dari masyarakat di kawasan berkenaan.
Terdahulu beliau turut menyampaikan cenderamata kepada moderator dan ahli panel jemputan.
Hadir sama Penghulu Kampung Jemoreng Mesaleh@Che Jeni Shahdan. – EDISI UKAS