Pendigitalan Perkhidmatan Pacu Industri Pelancongan

ISNIN, 20 MAC 2023

MIRI: Pendigitalan perkhidmatan dalam industri pelancongan boleh memacu sektor itu ke taraf lebih tinggi.

Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, perihal mendigitalkan perkhidmatan mampu mengatasi impak kekurangan buruh yang menjejaskan pemulihan sektor pelancongan.

Justeru itu katanya, beberapa inisiatif sedang dilakukan oleh kementeriannya untuk menyuntik dorongan baharu kepada pemulihan pelancongan dan pertumbuhan ekonomi.

“Pendigitalan perkhidmatan adalah cara yang baik untuk mempromosikan pelancongan tempatan dengan berkesan.

“Oleh itu, adalah penting untuk menggunakan bakat tempatan untuk menghasilkan produk sedemikian.

“Walaupun kita masih mengalami kekurangan tenaga kerja, industri pelancongan masih boleh pulih, walaupun perlahan, jika kita tahu di mana hendak mencari, kita mampu memulihkannya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi perbincangan panel meja bulat mengenai ‘What if Labour Shortage Is a Long-term Threat to a Sustainable Recovery for Tourism’ di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan pelancongan sebagai salah satu sektor ekonomi utama dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menggariskan tindakan untuk diambil bagi membina ekonomi pelancongan lebih berdaya tahan.

Mengenai kekurangan tenaga buruh dalam pelancongan, beliau berkata, golongan pesara yang masih sihat dan berminat untuk bekerja dalam sektor pelancongan boleh menjalani latihan bagi meneruskan kerjaya baharu selepas bersara.

Perbincangan panel meja bulat yang dikendalikan oleh Prof Andreas H. Zins itu turut dihadiri Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin.

Sesi itu adalah sebahagian daripada Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Borneo (BSDG) selama dua hari bermula 18 hingga 19 Mac 2023. – EDISI UKAS

add comment