ISNIN, 20 MAC 2023
BAU: Pengiktirafan Taman Geo Delta Sarawak (SDGP) sebagai Taman Geo Kebangsaan merupakan satu pencapaian kepada kerajaan Sarawak.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, pengiktirafan itu adalah dalam usaha memelihara kelestarian alam semula jadi dan pengurusan mampan kawasan yang memiliki nilai tapak geo yang tinggi.
Menurutnya, ia menekankan tiga aspek iaitu, pemeliharaan, pemuliharaan warisan dan pembangunan ekononi dan pembangunan komuniti.
“Objektif utama Ekspedisi Sarawak Delta Geopark tahun ini adalah bagi pengumpulan dan penyatuan maklumat lanjut mengenai warisan geologi, biologi, budaya tempat dengan penglibatan seramai 81 orang peserta penyelidik dan pegawai, serta komuniti tempatan.
“Ia juga bertujuan untuk mendokumentasikan nilai-nilai penting serta mengenalpasti potensi geo pelancongan di kawasan Bau dan Padawan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Ekspedisi SDGP 2023 sempena penganjuran Ekspedisi SDGP di kawasan Bau dan Padawan di Dewan Suarah Bau pada Isnin.
Sementara itu, Datuk Len memberitahu, ekspedisi ini merupakan julung kali dijalankan dan merupakan permulaan kepada siri ekspedisi yang turut dirancang di kawasan lain.
“SDGP ini berkeluasan 3,112 kilometer dengan pelbagai keunikan meliputi kawasan daratan dan air yang terdapat di Kuching dan sebahagian kecil di Serian,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, kagum dan berterima kasih dengan kerajaan Sarawak kerana memilih daerah Bau sebagai salah satu kawasan untuk SDGP.
Jelasnya, secara geografi terdapat banyak kawasan yang menarik di Bau terutama dari segi eko pelancongan.
Ekspedisi tersebut akan berlangsung selama 7 hari mulai dari 20 sehingga 26 Mac ini di mana pameran mengenai SDGP yang merangkumi beberapa aspek pelancongan di Bau dan Padawan bertempat di Dewan Suarah Bau.
Turut hadir dalam program tersebut ialah ADUN Opar, Billy Sujang, ADUN Batu Kitang, Lo Khere Chiang dan tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS