SELASA, 21 MAC 2023
TATAU: Cuaca mendung tidak mematahkan semangat 40 guru dan kakitangan sekolah serta 326 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kelawit untuk menempuh hari pertama persekolahan bagi sesi 2023/2024.
Tinjauan wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di SK Kelawit pada Isnin mendapati rata-rata warga sekolah berasa gembira dan teruja untuk menyertai program-program yang telah diadakan sempena pembukaan sesi persekolahan ini.
Antara pengisian yang diadakan termasuk Program Guru Penyayang, Program Minggu Pertama Persekolahan, Transisi Tahun 1 Sesi 2023/24 dan Transisi Pra Sekolah Sesi 2023/24.
Selain itu, beberapa aktiviti lain turut diadakan seperti Senamrobik Bersama Unit Kokurikulum, Adab Di Dalam Kelas, Penerapan Nilai Dan Pembangunan Sahsiah Bersama Unit Hal Ehwal Murid, Jom Ceria Bersama Unit Kokurikulum dan Pengurusan Kelas Bersama Guru Kelas.
Hadir sama, Guru Besar SK Kelawit Janudin Abdul Rahman. -EDISI UKAS.