JKR Sedang Sedia Justifikasi Kenaikan Kos Projek Klinik Kesihatan Long San Baram

SELASA, 21 MAC 2023

KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia sedang menyediakan justifikasi bagi kenaikan kos pelaksanaan projek Klinik Kesihatan Long San Baram untuk kelulusan Kementerian Ekonomi.

Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa berkata, anggaran kos projek berdasarkan skop keseluruhan adalah melebihi daripada kos projek yang diluluskan.

Menurutnya, pelaksanaan projek Klinik Kesihatan Long San Baram (Jenis 5) bersama dengan kuarters Long San telah diluluskan pada tahun 2020 dengan kos sebanyak RM27.7 juta.

“Tender bagi projek ini hanya akan dikeluarkan selepas kelulusan kenaikan kos diperolehi,” katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau dalam Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Sebelum itu, Dato Anyi menyatakan apakah status atau jadual pelaksanaan Klinik Kesihatan Long San Baram yang telah diluluskan pihak kerajaan sebelum ini dan status kerja pembaikan Klinik Kesihatan Long Lama Baram yang mengalami kerosakan akibat kejadian tanah runtuh beberapa tahun lepas

Dr Zaliha menambah, JKR Sarawak telah melaksanakan kerja-kerja pembaikan kecemasan bagi membaik pulih cerun dan mendapan tanah di Klinik Kesihatan Long Lama.

Katanya, kerja tersebut telah dimulakan pada 5 Oktober 2020 dan siap sepenuhnya pada 4 Januari 2021 dengan kos berjumlah RM898,000.

“Bagi kerja-kerja pembaikan jangka panjang, tender bagi kerja-kerja tersebut telah diiklankan pada 12 Mei 2022.

“Bagaimanapun, tiada petender yang berjaya setelah penilaian dibuat. Sehubungan itu, tender bagi kerja ini telah diiklankan semula pada 7 November 2022 dan kini sedang dalam proses penilaian tender,” katanya. -EDISI UKAS

add comment