ISNIN, 20 MAC 2023
KUCHING: Sebuah pasukan bertindak atau ‘task force’ dibentuk bagi menyelesaikan isu yang dihadapi industri perkapalan di negeri ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin memberitahu, pemain industri perkapalan pada masa ini berdepan kesulitan disebabkan kapal yang melebihi GT 500 kerap beroperasi di perairan Sarawak.
Sehubungan itu katanya, pasukan ini berfungsi untuk mengesan kapal melebihi 500 ton kasar (GT) menerusi tinjauan, di samping memeriksa semua kelengkapan dokumen pendaftaran kapal bagi menjamin keselamatan pelayaran.
“Pasukan bertindak ini akan diketuai Pengarah Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sarawak, bersama anggota kementerian kami termasuk semua pihak yang berkepentingan seperti Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Badan Klasifikasi Kapal Malaysia (SCM) , Persatuan Pemilik Kapal Sarawak dan Sabah (SSSA), Persatuan Pembina Kapal serta Persatuan Industri Maritim Sarawak (SAMIN).
“Kementerian percaya sudah tiba masanya langkah diambil bagi menyelesaikan isu yang dihadapi oleh pemain industri perkapalan berhubung pendaftaran kapal dan tinjauan di perairan Sarawak.
“Pada masa ini, kapal melebihi 500 GT mesti diperiksa oleh Pejabat Pendaftaran Kapal Malaysia (KM) bagi memudahkan pengangkutan barangan keperluan terutama semasa krisis seperti pandemik Covid-19,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas taklimat ‘Penyelidikan dan Cadangan untuk Kapal di Sarawak’ oleh SCM di sini pada Isnin.
Menurut Dato Sri Lee lagi, melalui taklimat tersebut, semua pihak berkepentingan berkumpul dan mengemukakan cadangan untuk membincangkan lebih lanjut isu ini.
Dalam masa sama tambahnya, MOTS mengumpul maklumat, pendapat dan cadangan daripada semua pihak sebelum membuat keputusan dan menyerahkannya kepada Jabatan Laut Malaysia.
Taklimat berkenaan dihadiri pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan seperti Jabatan Peguam Negara Malaysia Cawangan Sarawak, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Jabatan Premier Sarawak, LSS, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sarawak, SSSA dan SAMIN.-Edisi UKAS