Sarawak Komited Pulih Semula Kawasan Hutan Yang Diterokai

SELASA, 21 MAC 2023

KUCHING: Kerajaan Sarawak komited dalam usaha memulihkan semula kawasan hutan yang telah diterokai lebih 50 tahun yang lalu. 

Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad berkata, tidak dinafikan Sarawak bergantung sepenuhnya kepada hasil hutan dan aktiviti pembalakan suatu ketika dahulu.

“Itulah pendapatan kita, sumbangan daripada pembalakan.

“Tetapi apabila kita menilai semula apa yang berlaku sekarang dan pendapatan Kerajaan daripada sumber lain yang boleh menampung pendapatan untuk pembangunan di Sarawak.

“Kita perlu melihat semula perhutanan ini dari segi penggunaannya.  

“Sebab itu kerajaan Sarawak telah bersetuju supaya kita mengurangkan kadar pembalakan, penebangan dan meningkatkan program penanaman rehabilitasi hutan bagi menambah lagi kawasan hutan kita.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Malam Apresiasi Media Jabatan Hutan Sarawak di sini pada Isnin. 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kerajaan Sarawak  bukan sahaja menyediakan hasil hutan kepada rakyat, tetapi dari segi sektor lain seperti karbon atau hidrogen daripada kawasan hutan.

“Jadi kerajaan Sarawak telah membuat penanda hala tuju  bahawa kita perlu mengekalkan hutan di negeri  ini untuk kepentingan tersebut”, ujarnya. 

Dalam pada itu, malam apresiasi tersebut telah dihadiri oleh agensi-agensi media dari Persatuan wartawan bahagian kuching.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian, tiket cabutan bertuah dan ‘King & Queen of the Night’

Hadir sama, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Samuel Simon serta tetamu lain.-EDISI UKAS

add comment