RABU, 22 MAC 2023
KUCHING: Seramai 100 orang penerima dari Kampung Maimunah telah menerima bantuan makanan dalam Majlis Serahan Sumbangan Ziarah Rahmah Ramadhan besempena persedian awal menyambut bulan Ramadhan yang akan tiba.
Program ini merupakan anjuran Yayasan Ikram Malaysia bagi membantu golongan yang memerlukan di seluruh Malaysia.
Penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Kedutaan China di Malaysia, Tang Rui di Dewan Terbuka, Kampung Sri Maimunah Kuching di sini pada Rabu.
Katanya, selama bertahun-tahun, Kedutaan China di Malaysia telah bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dan masyarakat sivil untuk melaksanakan semua jenis usaha amal, menghulurkan bantuan kepada rakan-rakan Malaysia yang memerlukan.
“Mengingati semangat perpaduan dan persahabatan, Kedutaan kami akan terus komited untuk memberikan bantuan dan sokongan kami kepada semua rakan Malaysia yang memerlukan.
“Acara hari ini menjadi satu lagi contoh nyata tentang persahabatan dan persaudaraan yang erat antara rakyat China dan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Ikram Malaysia, Kamsani Nasir berkata, program seterusnya Yayasan Ikram akan memberikan bantuan berbuka puasa dan bersahur dalam bentuk makan siap yang akan dihulurkan di setiap rumah yang terlibat dalam program ini.
“Di Sarawak banyak kali sudah kami membuat bantuan, kalau ikutkan kita hampir setiap bulan mengadakan program bantuan seperti ini.
“Sumbangan yang kami hulurkan tidak dalam satu kawasan sahaja malah kami turut menghulurkan di beberapa daerah di Sarawak.
“Justeru, kami mengharapkan masyarakat kita menjadi lebih prihatin untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan ini,” ujarnya.-EDISI UKAS