RABU, 22 MAC 2023
KUCHING: Seramai 132 orang usahawan tani di DUN Batu Kawa menerima bantuan input pertanian dengan anggaran RM2,000 seorang.
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian berkata, bantuan input pertanian tersebut adalah inisiatif Jabatan Pertanian Bahagian Kuching bagi membantu mereka yang memerlukan serta merancakkan lagi aktiviti pertanian di kawasan itu.
“Pada hari ini kita telah buat penyerahan peralatan pertanian seperti baja dan racun untuk aktiviti penanaman sayur di sini.
“Kalau dua tahun lepas, jumlah bantuan yang diberikan ialah RM1,000 namun tahun ini nilainya meningkat kepada RM2,000 dengan kuantiti yang sama, ini kerana dengan kenaikan harga barang tani,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa hadir menyerahkan bantuan tersebut di Kuching pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa berkata, kementeriannya juga bercadang untuk menubuhkan satu pusat ‘food basket’ dimana ianya akan menjadi pusat untuk pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan hasil pertanian di kawasan ini.
“Pusat itu nanti akan memudahkan petani di kawasan ini untuk menghantar hasil pertanian mereka untuk dijual kepada pemborong dan peniaga di sekitar Kuching,”katanya.-EDISI UKAS