ADUN Batang Ai Sempurnakan Majlis Pemimpin Madani Bersama Rakyat Buie Ran

RABU, 22 MAC 2023

LUBOK ANTU: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, lndustri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh telah menyempurnakan Majlis Pemimpin Madani Bersama Rakyat di Buie Ran di sini pada Selasa.

Kehadiran beliau serta isteri Datin Dorothy Sylvester Pungga yang mesra menyantuni penduduk setempat telah menyerikan lagi majlis tersebut.

Semasa berucap, Datuk Dr Malcolm memberitahu, majlis seumpamanya perlu kerap diadakan kerana ia salah satu usaha untuk mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara wakil rakyat termasuk Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dengan penduduk.

Dalam ucapan sama, beliau telah berkongsi beberapa cadangan berkaitan aktiviti yang dapat dilaksana di kawasan berkenaan terutama berkaitan eko pelancongan yang boleh membantu meningkatkan ekonomi penduduk sekaligus manarik pengunjung datang ke Lubok Antu.

Oleh yang demikian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai itu meluluskan peruntukan RM100,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Buie Ran melaksanakan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) termasuk RM100,000 lagi untuk Biro Wanita Buie Ran.

Di samping itu, Datuk Dr Malcolm turut berterima kasih kepada Sarawak Energy Berhad (SEB) kerana menambah peruntukan insentif pendidikan Batang Ai daripada RM200,000 ke RM300,000 bermula tahun ini.

Selain merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, majlis tersebut juga bertujuan untuk meraikan Tuai Rumah (TR) Lumbai, yang dilantik sebagai Ketua Masyarakat baharu di kawasan itu.

Hadir di majlis berkenaan ialah Setiausaha Politik kepada Dato Sri Fadillah Yusof, Mikai Mandau, Pegawai Daerah Lubok Antu Richard Ngumbang, wakil Ketua Polis Daerah (KPD) Lubok Antu ASP Thomas Sulok Urik, Pemanca Grang Juben serta Penghulu Albert Klingsing Manau.-Edisi UKAS

add comment