ADUN Meradong Umum Sumbangan MRP, Sambutan Peringatan Hari Polis Ke – 216

RABU, 22 MAC 2023

BINTANGOR:  Jalinan kerjasama antara pihak polis dan agensi kerajaan perlu diteruskan pada masa akan datang untuk memajukan lagi Meradong dan memastikan daerah itu bebas dari gelaja yang tidak sihat.

Perkara itu ditegaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing semasa menghadiri Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke – 216 IPD Daerah Meradong, bertempat di IPD Daerah Meradong pada Isnin.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada IPD Daerah Meradong kerana projek pembinaan dewan serbagunanya telah siap melalui peruntuka  Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Meradong.

Katanya, prasaran baru itu akan memudahkan anggota IPD Daerah Meradong menjalankan aktiviti mereka dengan lebih selesa.

Dalam majlis itu, beliau turut mengumumkan sumbangan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Kelab Ibu Pejabat Daerah (IPD) Meradong berjumlah RM5000, Perket Daerah Meradong RM3000, Biro Kebajikan Islam IPD Daerah Meradong RM3000 dan Biro Kebajikan Kristian IPD Daerah Meradong, RM3000.

Dalam majlis sama, KPD Daerah Meradong, DSP Sekam Anoi turut berkongsi kedudukan jenayah secara perbandingan mulai 1 Januari sehingga 15 Mac tahun 2022 dan tempoh yang sama tahun 2023.

Jelasnya, terdapat sedikit peningkatan kes jenayah indeks daripada tiga kes dengan empat tangkapan tahun 2022 berbanding sembilan kes dengan enam tangkapan bagi tahun 2023.

“Keadaan Ini tidaklah merisaukan kita kerana kedudukan kes ini masih dalam keadaan terkawal. Kadar pertuduhan kita juga tinggi iaitu 76.9%.

“Saya menyeru kerjasama padu di Daerah ini dalam usaha membendung jenayah terutama kes pecah rumah dan curi yang terus berlaku.”

Mengulas lanjut, beliau menyatakan kejadian banjir dan tanah runtuh yang berlaku di beberapa tempat di daerah tersebut juga boleh dijadikan kayu pengukur bahawa daerah ini juga tidak terkecuali daripada musibah akibat fenomena Monsun Timur Laut (MTL).

Justeru beliau yakin kesiapsiagaan menghadapi musibah ini akan terus dipertingkatkan dan dipantau dari semasa ke semasa.

Hadir sama Pemangku Pegawai Daerah Meradong Thomas Geoffrey Kendawang, Ketua Balai Bomba Dan penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin, Pegawai Rela Daerah Meradong, Ahmad Adeni dan Pegawai Penerangan Daerah Meradong,  Zaini Mohamad.-EDISI UKAS

add comment