Ahli-Ahli Majlis Daerah Jadi ‘Mata’ & ‘Telinga’ Kerajaan

RABU, 22 MAC 2023

MARUDI: Ahli-ahli Majlis Daerah berperanan dalam membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membuat dasar serta polisi, merancang dan memantau pelaksanaan serta perkembangan pembangunan di peringkat bawahan. 

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, Ahli-Ahli Majlis perlu bertindak sebagai ‘mata’ dan ‘telinga’ pihak kerajaan untuk menerima maklumat dan aduan di peringkat akar umbi.

“Melalui maklum balas yang diterima, PBT perlu berusaha mengambil tindakan dan langkah untuk memperbaiki lagi mutu perkhidmatan.

“Komitmen dan kerjasama Ahli-ahli Majlis dan kakitangan MDM adalah penting di dalam memastikan pembangunan di Marudi terlaksana dengan baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Malam Apresiasi Majlis Daerah Marudi (MDM) 2022 pada Selasa. 

Selain itu tambah beliau, menjaga hubungan yang baik di antara MDM dengan agensi-agensi Kerajaan di Marudi dan Baram serta wakil rakyat tempatan juga salah satu faktor yang menyumbang kepada pembangunan di Marudi. 

Dalam pada itu, majlis ini turut meraikan Ahli-Ahli MDM yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan mereka pada 31 Mac 2023 dan mengalu-alukan kedatangan Ahli-ahli MDM yang baru dilantik bermula 31 Julai 2019 yang lalu.

Datuk Dr Penguang juga mengucapkan tahniah di atas kejayaan MDM 2022 yang mendapat Penarafan 5 Bintang bagi Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) seluruh Malaysia tahun 2022 dan Johan Keseluruhan Perkhidmatan Perpustakaan PBT Sarawak bagi Anugerah Perpustakaan Awam Premier Sarawak 2022, sekaligus menjadi Perpustakaan Awam Terbaik Bagi Tahun 2022.

Turut hadir Pengerusi Majlis Daerah Marudi Edward Mendai, Pegawai Daerah Marudi Belayong Pok, Wakil Pegawai Daerah Telang Usan Mike Authur Nakabok dan Setiusaha Majlis Daerah Marudi Michelle Hidalyne Jering Anthony Luta. -Edisi UKAS.

add comment