Kerajaan Telah Laksana Program Pastikan Harga Barang Keperluan Makanan Sama Di Bandar, Luar Bandar

RABU, 22 MAC 2023

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu, gas petroleum cecair (LPG) dan Program Penyeragaman Harga bagi memastikan harga barang keperluan makanan sama di bandar dan luar bandar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, program itu telah dilaksanakan bermula tahun 2009 bagi menanggung kos pengangkutan yang tinggi bagi tujuh barangan bersubsidi/kawalan dari pembekal ke kawasan-kawasan pedalaman di negeri Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.

“Tujuh jenis barang yang terlibat ialah beras putih, gula putih bertapis kasar, tepung gandum, minyak masak sawit tulen (paket 1 kg), LPG, petrol RON 95 dan diesel.

“Melalui program ini, Kerajaan menanggung kos pengangkutan bagi barang-barang tersebut daripada pembekal sehingga ke Point of Sales (POS) ke kawasan pengedaran di pedalaman,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan Ahli Dewan Negara Senator Dato Dr. Nuing Jeluing yang tidak dijawab dalam Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Ujar Datuk Seri Salahuddin, menerusi program berkenaan, ia memberi impak positif dalam membantu meringankan bebanan kos sara hidup penduduk di kawasan pengedaran terpilih serta memudahkan penduduk mendapatkan bekalan dan penduduk juga dapat membeli tujuh bekalan barangan keperluan pada harga yang sama seperti di bandar. -Edisi UKAS

add comment