KMKK Ejen Perubahan Di Kawasan Masing-Masing

RABU, 22 MAC 2023

MIRI: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu memainkan peranan mereka sebagai ejen perubahan di kawasan masing-masing.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr. Penguang Manggil berkata, maju atau mundurnya sesebuah kampung itu bergantung kepada kecekapan KMKK di dalam menentukan hala tuju kampung mereka. 

Justeru KMKK harus berpandangan jauh untuk membawa pembangunan ke dalam kampung berkenaan, katanya semasa berucap di Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan, Pelanjutan Dan Penghargaan Kepada Ketua Masyarakat Dan Ketua Kaum Bagi Kawasan N76 Marudi, Daerah Beluru 2023 pada Selasa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi menyarankan KMKK membentuk Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk merancang aktiviti dan kemajuan di kampung dan rumah panjang masing-masing.

“Sebagai contoh, sebuah kampung atau rumah panjang yang mempunyai lebih 20 pintu layak mempunyai pengerusi, setiausaha, bendahari dan 15 orang ahli.

Manakala kampung atau rumah panjang yang kurang daripada 20 pintu hanya layak mempunyai tujuh ahli sahaja.

“Namun begitu, pengerusi, setiausaha atau bendahari tidak boleh datang daripada ahli keluarga yang sama, contohnya adik-beradik, anak atau menantu kerana hal ini akan menimbulkan konflik yang tidak diingini,” tambah beliau. 

Dalam majlis sama, empat Ketua Masyarakat menerima Sijil Pelanjutan Perkhidmatan, 20 orang Ketua Kaum menerima Sijil Pelanjutan Perkhidmatan, lima orang Ketua Kaum menerima Sijil Lantikan Baharu Perkhidmatan buat kali pertama dan seorang mantan tuai rumah telah menerima Sijil Tamat Perkhidmatan. 

Datuk Dr. Penguang Manggil berharap Ketua Kaum yang baru dilantik kali pertama akan sentiasa merujuk kepada ketua masyarakat, Pejabat Daerah atau Pejabat Residen sekiranya terdapat kekeliruan di dalam mengambil sesuatu tindakan. 

Turut hadir Wakil Pemangku Residen Bahagian Miri Nora Shafia Muhiyudin, Pemangku Pegawai Daerah Beluru Charles Aloysius Lisu, Temenggong Kaum Iban Bahagian Miri, Wilson Atong, Temenggong Kaum Kayan Bahagian Miri Elizabeth Ding dan Pemanca Kaum Iban Daerah Beluru Enggah Muga. -Edisi UKAS. 

add comment