Pelajar Tingkatan 6 SMKS Dirai Dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan

RABU, 22 MAC 2023

SERIAN: Seramai 97 pelajar Tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan Serian (SMKS) telah diraikan dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan dan Tamat Pengajian yang berlangsung di sebuah hotel, di sini pada Selasa.

Majlis aprisiasi tersebut diadakan bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada para pelajar semester 3 itu yang telah mencapai keputusan yang baik sama ada dalam bidang akademik, kokurikulum mahupun dalam bidang sahsiah.

Hadir menyempurnakan upacara penyampaian sijil dan anugerah khas kepada pelajar ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus.

Semasa berucap, beliau memberitahu bahawa pelajar perlu menghadapi cabaran baru dalam dunia pendidikan yang sentiasa berubah-ubah dalam era globalisasi ini.

Menurutnya, peranan pelajar semakin mencabar hari demi hari dan mereka memerlukan usaha yang lebih untuk memahami banyak bidang ilmu ke arah menjadi anak bangsa yang maju pada masa akan datang.

Dalam majlis sama, terdapat tiga anugerah khas turut disampaikan kepada enam pelajar yang terpilih mengikut kategori lelaki dan perempuan.

Antaranya ialah, Anugerah Khas ESSSA (Ex-Serian Secondary School Association) Tahun 2022 dirangkul oleh Vincent Christopher dan Esther Chin Ching Sze.

Selain itu, Anugerah Khas PIBG Tahun 2022 pula dianugerahkan kepada Dexter Elmer Donny dan Nor Syuhada Mohamad.

Manakala Anugerah Khas Pengetua Tahun 2022 dimenangi oleh Ahmad Roza’ainul Mirzan Zambri dan Narisia Natrah Rajali.

Majlis penuh sejarah itu turut menyaksikan seramai 14 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sesi 2020-2021 yang telah berjaya mendapat PNGK 3.00 ke atas, menerima anugerah kecemerlangan akademik.

Daripada jumlah itu, salah seorang pelajar yang kini sedang menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam jurusan ekonomi, Mohd. Zulhilmi Zahkeria mendahului senarai penerima dengan mendapat PNGK 4.00 (4A) sekaligus merupakan pelajar terbaik STPM sesi 2020-2021.

Turut hadir ialah Pengetua SMK Serian Faidzul Ahad, Yang dipertua PIBG SMK Serian Rafi Taizel, Penolong Kanan Tingkatan 6 Milton Junde serta wakil Persatuan Bekas Pelajar SMK Serian (ESSSA) Abang Josmawi.-Edisi UKAS

add comment