RABU, 22 MAC 2023
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menyaksikan majlis penyerahan tiga unit kenderaan Toyota Mirai di pekarangan Wisma Bapa Malaysia di sini pada Rabu.
Kenderaan Toyota Mirai daripada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) Energy Sdn Bhd itu diserahkan kepada ketiga-tiga Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Prof Dr. Sim Kui Hian.
Penambahan kenderaan hidrogen itu selaras dengan komitmen kerajaan Sarawak menjadi peneraju tenaga hijau sekaligus merealisasikan peralihan ekonomi hijau yang mampan menjelang 2030.
Ketika ditemui media selepas majlis berkenaan, Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain berkata, melalui anak syarikat SEDC Energy Sdn Bhd, pihaknya berhasrat untuk membuka jalan bagi masa depan sifar pelepasan karbon di Sarawak.
Jelasnya, pihaknya menyokong usaha kerajaan Sarawak mewujudkan kesedaran kepada orang ramai berkaitan perubahan iklim dalam mobiliti melalui kenderaan tenaga baharu atau ‘New Energy Vehicles’.
“Kita akan mempopularkan bukan sahaja sumber kenderaan daripada Toyota tetapi juga daripada syarikat lain yang ada mengeluarkan kereta hidrogen seperti Hyundai.
“Seterusnya mungkin daripada Eropah iaitu Mercedez nanti ada juga mengeluarkan kereta hidrogen dan kemungkinan besar kereta yang lebih mewah untuk menteri-menteri kita,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perancang Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh. -EDISI UKAS