KHAMIS, 23 MAC 2023
SARIKEI: Sebanyak 4800 kotak buah kurma sumbangan dari Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang Datuk Len Talif Salleh sedang diagihkan sempena Bulan Ramadan pada tahun ini.
Semua agihan merangkumi asnaf, anak yatim, warga emas dan umat Islam di kawasan DUN Kuala Rajang termasuk kakitangan di beberapa pejabat kerajaan.
Semua agihan dilakukan oleh Pusat Khidmat di Zon Sarikei dan Zon Tanjong Manis dengan kerjasama Ketua-ketua Kaum dan Masyarakat di setiap kawasan.
Sumbangan ini merupakan aktiviti tahunan ADUN Kuala Rajang dalam memeriahkan suasana serta menyambut ketibaan bulan Ramadan.
Selain itu, Datuk Len juga menyumbang air minuman ke setiap masjid dan surau dalam DUN Kuala Rajang untuk kegunaan sepanjang bulan Ramadan.
Di sepanjang bulan Ramadan juga beliau akan melaksanakan program Jelajah Ramadan seperti yang telah dirancangkan.
Beliau berharap Ramadan tahun ini dapat disambut dengan penuh ketakwaan dan semua amalan serta ibadah diterima oleh Allah dan mendapat ganjarannya. – EDISI UKAS