KHAMIS, 23 MAC 2023
KUALA LUMPUR: Kajian berkenaan cadangan pertambahan kerusi Dewan Rakyat bagi negeri Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan persetujuan.
Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said, pindaan kepada Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan berkaitan komposisi ahli dewan rakyat perlu dibuat terlebih dahulu dan pindaan ini perlu mendapat persetujuan dua pertiga daripada jumlah ahli dewan rakyat.
Jelasnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk melaksanakan Urusan Kajian Semula Persempadanan berdasarkan keperluan di bawah Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Serian, Dato’ Sri Richard Riot Jaem pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Dato’ Sri Azalina menambah, kajian mengenai perkara itu akan mengambil sedikit masa kerana ia melibatkan pindaan undang-undang khususnya berkaitan Perlembagaan Persekutuan. -EDISI UKAS