95 Gerai Bazar Ramadan Satok Dapat Sambutan Menggalakkan

JUMAAT, 24 MAC 2023

KUCHING: Sebanyak 95 gerai yang memula operasinya di Bazar Ramadan Satok pada Khamis mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Daripada jumlah itu, Bazar Ramadan Satok dibahagikan kepada 71 gerai minuman dan 20 gerai makanan termasuk empat gerai makanan panggang disediakan bagi memenuhi pilihan pelanggan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki yang melakukan perasmian bazar berkenaan memberitahu, Bazar Ramadan Satok menjadi tempat pertemuan orang ramai untuk membeli pelbagai jenis juadah berbuka puasa.

Katanya, menerusi pemerhatiannya, pelbagai kaum seperti Cina, India, Iban turut memeriahkan bazar Ramadan yang dianjurkan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

“DBKU telah menyediakan tiga lokasi penempatan tapak jualan Bazar Ramadan iaitu di Satok, Semarak dan Taman Sukma.

“DBKU juga berperanan dalam memantau harga barang dan kebersihan sepanjang operasi jualan berlangsung” katanya.

Dato Ibrahim menambah, pembukaan Bazar Ramadan juga mampu membentuk keharmonian di kalangan masyarakat tanpa mengira kaum dan bangsa. -EDISI UKAS

add comment