KBS Anjur Pelbagai Program, Tingkatkan Pembangunan Belia Luar Bandar

JUMAAT, 24 MAC 2023

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah menganjurkan pelbagai program dan inisiatif latihan melibatkan belia luar bandar. 

Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, antaranya penganjuran sebanyak 117 program semasa Hari Belia Negara Peringkat Daerah 2022.

Tambahnya, seterusnya lima projek keusahawanan di bawah Program ‘Social Entreprenuership For Rural Youth’ (SERY) 2023, 122 siri untuk Program Intervensi Sosial (Youth to Youth) 2023 dan 14 siri di bawah Kem Belia Sejahtera 2023. 

“KBS turut komited untuk memenuhi keperluan semasa negara dan memenuhi potensi rakyat melalui Pendidikan khususnya Pendidikan Latihan Teknikal Dan Vokasional (TVET) yang menyasarkan golongan belia massa, termasuklah belia yang tidak bekerja, belia berisiko dan berkeperluan khas,” katanya.

Hannah Yeoh berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi  menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi dalam Persidangan Dewan Rakyat pada Khamis. 

Sementara itu, beliau menambah, sebanyak 101 program telah dilaksanakan pada tahun 2022 yang melibatkan penyertaan belia seramai 1,813 orang dan sebanyak 91 program akan dilaksanakan ada tahun 2023 dengan sasaran penyertaan seramai 1,033 orang belia.

“Pada tahun ini KBS melalui Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia melaksanakan 22 program ‘Skills For Life’ yang bertujuan untuk menyediakan peluang latihan kemahiran asas kepada belia setempat bagi membantu menangani kos sara hidup yang tinggi yang dihadapi oleh belia dan masyarakat pada masa kini,” ujarnya. -Edisi UKAS.

add comment