Kerajaan Persekutuan Tumpu Tiga Perkara Utama

KHAMIS, 23 MAC 2023

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia telah berkembang dengan baik melalui peralihan struktur daripada ekonomi berasaskan pertanian dan komoditi kepada pembuatan dan perkhidmatan.

Walau bagaimanapun, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mohd Rafizi Ramli, Malaysia masih belum dapat keluar daripada kategori negara berpendapatan pertengahan atau middle income trap disebabkan ketidaktentuan persekitaran dan krisis ekonomi global yang mengekang pertumbuhan ekonomi negara.

“Berdasarkan pencapaian ekonomi semasa, Malaysia dianggar akan mencapai status negara berpendapatan tinggi pada tahun 2026, sekiranya kadar pertumbuhan kekal berada pada kadar 4 peratus hingga 5 peratus bagi tempoh tiga tahun akan datang.

“Walau bagaimanapun, Bank Dunia pula menganggarkan Malaysia akan mencapai status tersebut antara tahun 2024 hingga 2028,”katanya.

Ke arah itu, Mohd Rafizi memberitahu, kerajaan akan memberi tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu melaksana reformasi struktur ekonomi, mengenal pasti sumber pertumbuhan baharu dan mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

“Kerajaan komited untuk melaksanakan usaha mereformasi struktur ekonomi ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi bagi mengukuhkan pertumbuhan dan meningkatkan produktiviti dalam semua sektor.

“Selain itu, penekanan akan diberi kepada sumber pertumbuhan baharu daripada sektor strategik dan berimpak tinggi, antaranya industri elektrik dan elektronik (E&E), perkhidmatan global, aeroangkasa, industri kreatif, pelancongan, halal, biojisim dan aktiviti pertanian pintar.

“Usaha akan dipertingkat untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara melalui peningkatan hasil dan mensasarkan semula subsidi kepada kumpulan yang lebih memerlukan,”ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negara Senator Dato’ Ahmad Dato’ Sri Ibrahim, menerusi jawapan bertulis di persidangan Dewan Negara pada Isnin. -Edisi UKAS

add comment