JUMAAT, 24 MAC 2023
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang untuk membina sebuah klinik kesihatan baharu di Betong dan memindahkan perkhidmatan Jabatan Pesakit Luar dan Klinik Ibu dan Anak ke klinik baharu tersebut.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, cadangan ini telah dikenal pasti sebagai keutamaan negeri dalam ‘Rolling Plan’ 4 Rancangan Malaysia Ke-12 (RP4, RMK12) untuk bagi memberi lebih banyak ruang dan menambah baik perkhidmatan kesihatan di hospital Betong.
Tambah beliau, Hospital Betong bersama Hospital Sri Aman sebagai hospital ‘lead’ membentuk Hospital Kluster Sarawak Tenggara.
“Enam perkhidmatan kepakaran di Hospital Betong seperti perkhidmatan kepakaran Perubatan, Pembedahan, Obstetrik & Ginekologi, Pediatrik, Ortopedik dan Psikiatri telah dijalankan.
“Manakala lawatan pakar secara berkala pula akan dijadualkan satu hingga dua kali sebulan mengikut bidang kepakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Betong Dr. Richard Rapu di Dewan Rakyat pada Khamis.
Dr. Zaliha Mustafa menambah, KKM akan mengkaji keperluan menaik taraf Hospital Betong dari semasa ke semasa tertakluk kepada keperluan perluasan perkhidmatan kepakaran, ketersediaan sumber manusia dan peruntukan kerajaan. -EDISI UKAS