JUMAAT, 24 MAC 2023
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperuntukkan RM483,000 kepada Klinik Kesihatan Semera bagi menyediakan kabin yang akan diubah suai menjadi bangunan klinik dan RM110,000 untuk Klinik Kesihatan Sadong Jaya untuk menaik taraf bilik rawatan kecemasan.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, Klinik Kesihatan Semera yang sedia ada terpaksa ditutup atas faktor keretakan dan operasi kini telah dipindahkan ke Klinik Kesihatan Asajaya dan Klinik Kesihatan Jemukan.
Menurutnya, beliau juga akan mengkaji keperluan Klinik Kesihatan Semera baharu tertakluk kepada ketersediaan tapak yang lebih sesuai dan peruntukan kerajaan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee mengenai pelaksanaan naik taraf Klinik Kesihatan Semera dan Klinik Kesihatan Sadong Jaya serta Hospital Simunjan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat pada Khamis.
Tambah beliau, bagi Klinik Kesihatan Sadong Jaya pula, sebanyak RM110,000.00 telah diperuntukkan untuk menaik taraf bilik rawatan kecemasan.
Namun ujarnya, buat masa ini rancangan rancangan berkenaan masih dalam peringkat mengenal pasti tapak yang sesuai.
Dalam pada itu, Dr. Zaliha turut menjawab persoalan mengenai cadangan blok wad tambahan di Hospital Simunjan yang kini telah disenaraikan di dalam permohonan RP4 RMK-12 bagi mengatasi masalah keretakan bangunan atas sebab mendapan tanah. -Edisi UKAS.