KHAMIS, 23 MAC 2023
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terus mengambil langkah-langkah proaktif serta bersedia untuk berkerjasama dengan pihak berkepentingan dari sektor awam dan swasta dalam menjayakan pelaksanaan ‘Belt and Road Initiative’ atau BRI di Malaysia.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia merupakan antara negara terawal yang memberi sokongan secara terbuka kepada Republik Rakyat China (RRC) berhubung BRI.
“Pada 13 Mei 2017, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan RRC telah menandatangani Memorandum Persefahaman untuk Menggalakkan Pembangunan Ekonomi Secara Bersama dalam Laluan Sutera dan Laluan Maritim Abad Ke-21.
“Antara bidang-bidang kerjasama yang digariskan dalam MoU tersebut adalah kesalinghubungan dalam projek-projek infrastruktur, mengukuhkan pengiktirafan bersama bagi standard dan perkongsian maklumat, menambah baik kebolehcapaian lalu lintas dan rangkaian pengangkutan, kemudahan urus niaga e-dagang rentas sempadan di kalangan negara-negara BRI, transformasi, menaiktaraf dan inovasi teknologi dalam bidang perkilangan terutama dalam keupayaan pengeluaran dan pembuatan peralatan termasuk kerjasama kewangan melalui peluasan penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dan pelaburan,”jelasnya.
Tengku Datuk Seri Zafrul berkata demikian menerusi jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Paul Igai dalam persidangan Dewan Negara pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau juga percaya bahawa platform BRI dapat memberikan faedah kepada pembangunan ekonomi dan industri negara di pelbagai sektor dalam jangka masa panjang.
“Kerajaan RRC telah menandatangani lebih 200 dokumen yang melibatkan 145 buah negara dan 32 organisasi antarabangsa dalam usaha untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah BRI.
“Dalam hal ini, penglibatan Malaysia dan negara-negara lain di bawah BRI telah mewujudkan jaringan kerjasama rentas-negara yang memberikan manfaat limpahan ekonomi kepada semua negara-negara di bawah kerjasama BRI, sekaligus memberi kesan positif kepada pembangunan ekonomi negara.
“Dari aspek perdagangan pula, komitmen kerajaan RRC bagi menjayakan BRI telah memberi peluang kepada negara-negara di sepanjang laluan BRI untuk memperkenalkan jenama mereka ke pasaran antarabangsa,”katanya.
Untuk rekod, BRI bertujuan untuk meningkatkan kesalinghubungan dan kerjasama antara negara-negara di tiga benua iaitu Asia, Eropah dan Afrika, melalui pelaksanaan projek serta program yang tertumpu kepada dua laluan perdagangan antarabangsa iaitu Laluan Jaringan Ekonomi Laluan Sutera dan Laluan Maritim Abad Ke-21.-Edisi UKAS